Saturday, April 25, 2009

Al-marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman


Al-marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada pukul 3.00 petang, hari Jumaat, 11 Febuari 1933 di Pondok Lubuk Tapah.

Tuan Guru Haji Abdullah telah mendapat pendidikan awal dengan ayahandanya sendiri iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman. Beliau juga telah belajar menulis dan membaca jawi semenjak kecil lagi dengan anak murid ayahnya yang berpengalaman iaitu Almarhum Haji Jusuh atau lebih dikenali sebagai Abang Aji Soh.

Pada tahun 1953, ayahandanya telah menghantarnya melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci, Mekah bersama adiknya Almarhum Haji Ahmad dengan menaiki kapal laut. Masjidil Haram Di Tanah Suci Mekah menjadi pusat pengajian Tuan Guru Haji Abdullah.

Di antara tokoh guru-guru dan ulamak beliau Syaikh Abdul Kadir Abdul Mutalib Al-Mandili, Syaikh Muhamad Daud Al-Fatani, Syaikh Abdul Jalil Al-Indonisi dan beberapa orang tokoh-tokoh ulamak yang terkenal lagi.

Selama hampir 15 tahun berada di Tanah Suci Mekah akhirnya beliau kembali ke tanah air. Sebelum beliau pulang ke tanah air, beliau bersama 14 orang sahabat perjuangan menghadapi ujian terakhir daripada guru-guru, ulamak dengan disuruh membaca mentafsir dan menerangkan isi kandungan beberapa buah kitab agama yang telah dipelajari selama menuntut di tanah Suci Mekah selama satu minggu.

Debaran ujian telah pun berakhir. Kini tiba pula debaran menunggu keputusan, Apabila keputusan diumumkan beliau bersama dua orang sahabatnya menerima ijazah tauliah dan tamat pengajian daripada guru-guru ulamak pada Muharam 1386 Hijrah. Sebelum berangkat pulang ke tanah air beliau juga diberi pesanan dan nasihat oleh guru-guru ulama supaya memanfaatkan ilmu yang telah di pelajari dengan betul dan tepat.

Pada tahun 1966 Tuan Guru Haji Abdullah kembali ke tanah air. Beliaulah sebagai pengganti ayahandanya Tuan Guru Haji Abdul Rahman untuk mentadbir dan menerajui Pusat Pengajian pondok Lubuk Tapah.

NAMA TUAN GURU/PENGAJAR YANG PERNAH MENGAJAR BELIAU

Al-Syaikh Pak Da Ismail bin Abdul Kadir Al–Fatani
Al-Syaikh Abdul Kadir Abdul Muttalib Al-Mandili
Al-Syaikh Zakaria Bilal
Al-Syaikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kalatani
Al-Syaikh Hasan Muhammad Al-Massat
Al-Syaikh Sayyid Alwi Sayyid Abbas
Al-Syaikh Muhammad Arabi
Al-Syaikh Mokhtar Amfahani
Al-Syaikh Soleh Idris Al-Kalatani
Al-Syaikh Haji Abdul Rahman Daud Al–Fatani
Al-Syaikh Muhmmad Noor Bahrani
Al-Syaikh Sayyid Muhammad Amin
Al-Syaikh Abdul Jalil Al-Indonisi


BIDANG ILMU

Feqah, Tauhid, Hadis, Usul, Balaghah, Qiraat 7, Faraid dan Ilmu Aufat.

TUAN Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah telah kembali ke Rahmatullah pada usia 74 tahun.Beliau adalah antara guru Pondok yang masyhor dan juga bermulut masin yang dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat bukan saja dari Kelantan tetapi dari seluruh negara hingga dari Pattani.

Sepanjang hayatnya Allahyarham seorang pejuang yang istiqamah mendokong perjuangan Pas dan sering dipanggil untuk mengimani solat hajat dan majlis-majlis keagamaan. Allahyarham juga menjadi pakar rujuk Pas dalam hal-hal mengenai agama.

Allahyraham juga antara Guru Pondok yang menjadi pakar rujuk Istana Kelantan.

Kali terakhir beliau hadir dalam kegiatan parti ialah sewaktu mengiringi calon Pas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Allahyarham kurang cergas setelah menghidapi sakit diserang angin ahmar. Sejak itu Allahyarham hanya terlantar atas katil. Bagaimana pun Allahyarham tetap menerima kunjungan orang ramai yang berhajat dengan beliau khasnya untuk mendapatkan air penawar atau pun doa.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Hajjah Kamariah Abdul Ghani dan lima orang anak dua lelaki dan tiga perempuan serta ribuan murid. Sama-sama kita berdoa semoga roh Allahyraham Haji Abdullah Lubuk Tapah ditempatkan bersama roh-roh insan yang beriman dan beramal soleh.

0 comments: