Friday, April 24, 2009

Allahyarham Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi


Allahyarham Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi(April 1, 1938 — Januari 2, 2007), merupakan salah seorang murid kanan dari Allahyarham Tuan Guru Haji Muhammad Saman Bin Muhammad atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Guru Haji Mat Saman Kati. Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 1hb April, 1938 bersamaan dengan 30 Muharram 1357H di sebuah kampung bernama Sungai Malau, berdekatan Changkat Lobak, Bagan Serai, dalam Daerah Kerian di Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sepanjang hayatnya selama 69 tahun, beliau telah menyumbang sebahagian daripada umurnya untuk berbakti dan berjuang untuk meninggikan syiar agama Islam berpusat di kampung halaman khususnya di Alor Pongsu, Bagan Serai, dalam negerinya dan negaranya melalui pendekatan jalan dakwah dan usaha meningkatkan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan masyarakat dan anak bangsa melayu Islam.

Allahyarham sangat terpengaruh dan terkesan sekali dengan ulama besar Ulama Banjar seperti Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun bagi kitab Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din (ﺳﺒﻴﻞ اﻟﻤﻬﺘﺪﻳﻦ ﻟﻠﺘﻔﻘﻪ ﻓﻲ اﻣﺮاﻟﺪﻳﻦ).

Perwatakan dan kegemarannya

Seorang yang berperwatakkan sederhana dan lemah lembut dengan semua orang. Akhlak Rasullullah s.a.w sentiasa menjadi ikutan, zuhud, gemar berdandan dan kemas dalam berpakaian selayaknya bagi seorang ilmuan Islam. Warna kegemaran Rasulullah s.a.w putih, hijau, serta merah telah juga menjadi pilihan.
Salasilah keturunan dan keluarga

Latar belakang pendidikan

Allahyarham TG mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu (sekarang Sekolah Kebangsaan) Tebing Tinggi, Jalan Selama Perak sehingga darjah enam (6) sebelum melanjutkan pelajaran ke darjah tujuh (7) di Parit Buntar. Tidak lama kemudian Allahyarham TG telah menamatkan pengajian aliran Melayu untuk bertukar ke aliran pegajian agama di Madrasah (Arab: مدرسة) Ahmadiah al-Ijtima'ih (اﺣﻤﺪﻳﻪ اﻟإﺟﺘﻤﺎﻋﻴﻪ), Padang Lalang atau lebih dikenali dengan Sekolah pondok Padang Lalang Bukit Mertajam, Pulau Pinang setelah terlibat di dalam kemalangan di sekolah sehingga menyebabkan patah kaki. Keputusan untuk mengubah ke aliran agama dilakukan oleh ayahanda Haji Asmawi bin Haji Ismail kerana memikirkan masa depan Allahyarham TG yang lebih sempurna jika diberi pengetahuan di dalam bidang agama.

Selama lebih 10 tahun menimba pelbagai ilmu agama dalam dari ilmu-ilmu asas Tauhid (Arab: توحيد), Fiqah (Arab: ﻓﻘﻪ), Tasawuf (Arab: ﺗﺼﻮف), Hadis (Arab: الحديث hadīth mufrad, ahādīth "أحاديث" jamak); , Tafsir, Tajwid (Arab: تجويد) dan Sejarah juga berkemahiran tinggi dalam Bahasa Arab nahu (ﻧﺤﻮ) dan saraf (ﺻﺮف) dan beberapa ilmu alat yang lain. Semasa pengajian di Madrasah Padang Lalang, Allahyarham TG amat di hormati dalam kalangan para pelajar diatas kelebihan dan kebolehannya sehingga dilantik menjadi “kepala matala’ah” yang merupakan jawatan yang bukan mudah untuk diperolehi dalam sistem pengajian pondok pada ketika itu.

Pendidikan di Mekah

Sekitar tahun 1960M Allahyarham TG berpeluang menyambung pengajian di Mekah (Arab: مكة المكرمة) yang telah menjadi cita-cita setiap pelajar agama khususnya sistem pondok pada ketika itu. Pengajian di Mekah tidak lama, cuma 3 tahun sahaja namun sudah cukup bagi mempertajamkan lagi ilmu pengetahuan yang telah di pelajari sebelum itu. Diantara gurunya yang berasal dari tanah jawi adalah Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani dari Padang, Indonesia (Arab: اﻟﺸﻴﺦ ﻣﺤﻤﺪ ﻳﺴﻴﻦ ﻣﺤﻤﺪعيسى اﻟﻔﺪاﻧﻲ). Sheikh Muhammad Yasin pernah berkunjung ke Sekolah pondok Ahmadiah al-Ijtima’iah Padang Lalang, Bukit Mertajam pada awal tahun 1980an atas jemputan pihak pengurusan madrasah. Di ketika inilah Allahyarham TG berpeluang bertemu semula dengan gurunya setelah 20 tahun kembali ke tanah air.

Seorang lagi adalah Allahyarham Syeikh Abdul Qadir bin Abdul al-Mutallib [3] al-Indonesi al-Maindili (Arab: اﻟﺸﻴﺦ ﻋﺒﺪاﻟﻘﺎدر ﺑﻦ ﻋﺑﺪاﻟﻣﻄﻠﺐ الاﻧﺪوﻧﺴﻲ اﻟﻤﻨﺪﻳﻟﻲ رﺣﻤﻪاﻟﻠﻪ ﺛﻌﻠﻲ) Mandailing juga dari Indonesia (Pengarang kitab Penawar Bagi Hati), tetapi pernah berguru dengan Syeikh Haji Wan Ibrahim (اﻟﺸﻴﺦ ﺣﺎج وان إﺑﺮاﻫﻳﻢ) (PakCu Him) bin Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya-II) iaitu adik kepada Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abdidin atau singkatanya Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (اﻟﺸﻴﺦ ﻣﺤﻤﺪ زﻳﻦ اﻟﻔﻄﻨﻲ); Penyusun kitab Akidatun-Najin (ﻋﻔﻴﺪه اﻟﻧﺎﺟﻴﻦ), di Sekolah pondok Gajah Mati, Kedah.

Pak Cu Him Gajah Mati, mengirimkan Syeikh AQAM al-Mandaili untuk memperdalamkan ilmu kepada Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani atau Tok Cik Wan Daud (bapa saudara kepada Pak Cu Him) dan Syeikh Wan Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani atau Pak De 'El (abang Pak Cu Him). Syeikh AQAM adalah sezaman dan juga guru kepada Allahyarham Syeikh Juned Tola serta sahabat kepada Allahyarham Syeikh Idris al-Marbawi (اﻟﺸﻴﺦ إدرﻳﺲ اﻟﻣﺮﺑﺎوي رﺣﻤﻪ اﻟﻠﻪ ﺛﻌﻠﻲ); Pengarang Kamus Idris Marbawi.

Sekembalinya Allahyarham TG ke tanah air, mula beliau menabur bakti di bumi bertuah kampong tanah kelahiran dan menetap serta berpusat di Surau al-Ansar, Alor Pongsu, Bagan Serai Perak. Dengan harapan begitu tinggi untuk mengajar dan menyebarluaskan ilmu agama yang telah diperolehi. Demi untuk mencari keredhaan Allah Ta'ala dan berkongsi dengan semua ahli keluarga dan membantu agama Allah Ta'ala dengan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat di sekitar kampong. Hampir keseluruhan pelusok kampong di dalam daerah Kerian yang tidak dikunjungi oleh Allahyarham TG atas jemputan masyarakat sekitar yang mendambakan ilmu pengetahuan agama.


Musim haji 2006/07 yang terakhir

Sepanjang hayat Allahyarham TG berpeluang untuk menunaikan Haji ke tanah suci Mekah (Arab: مكة المكرمة) lebih dari 5 kali. Bermula masih umur remaja belasan tahun sekitar tahun 1950an Masehi, kemudian ketika menyambung pegajian di Mekah dalam tahun 1960an, setelah berkahwin awal tahun 1970an, seterusnya pada 1996M Kembali ke-Rahmatullah


Pada 2hb-Jan 2007, di waktu dinihari sekitar jam 1:30 pagi, seluruh ahli keluarga telah dikejutkan dengan panggilan telefon terus dari ibu Hajjah Noraini Hj Hussain yang berada di Mekah dengan pengkhabaran berita yang amat sedih. Dalam keadaan hiba sambil menangis ibu memberitahu bahawa “Abah” [22] kesayangan telah tiada lagi.

Pada waktu itu di Mekah, masih lagi awal sekitar jam 8:00 malam 1hb Jan-2007 bersamaan dengan Isnin 11-Zulhijjah 1427H. Diceritakan oleh isteri Pn Hajjah Noorani, bahawa selesai solat Maghrib, ketika memulakan perjalanan untuk melontar ke Jamrah setelah berhenti berehat untuk melepaskan kepenatan, Allahyarham TG rebah dan terus tidak sedarkan diri. Di ketika itu, Noorani yang berada tidak jauh hanya mendengar perkataan “Allah” (اﻟﻠﻪ) sebelum sempat memaut bahagian belakang dan Allahyarham TG terus rebah ke pangkuannya.

Setelah itu, Allahyarham TG segera dibawa oleh isteri dan beberapa orang petugas keselamatan di tempat kejadian ke pusat perubatan yang berdekatan[23]. Sejurus tiba di situ, Allahyarham TG disahkan telah meninggal dunia oleh doktor yang bertugas. Ditakdirkan Allah Ta'ala, turut berada di tempat kejadian adalah Doktor Asmah binti Othman [24] yang amat terkejut dan tidak menyangka sama sekali bahawa pesakit tersebut adalah datuk saudaranya sendiri. Secara khsusnya Allahyarham TG meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jantung yang disebut sebagai Acute Myocardial Infraction.[25]
Majlis Korban merupakan agenda wajib saban tahun di Surau al-Ansar Alor Pongsu

Segala urusan pengebumian Allahyarham TG berjalan sungguh lancar dan amat mudah sekali. Jenazah Allahyarham TG disembahyangkan oleh jutaan ummat Islam dari serata pelusok dunia di dalam Masjidil Haram (المسجد الحرام), Makkah al-Mukarramah (مكة المكرمة) sesudah solat subuh keesokkan harinya. Inilah cita-cita di dalam hati kecil Allahyarham TG dan juga patut menjadi cita-cita setiap daripada Muslim untuk pergi menemui tuhan robbul-jalil mudah-mudahan dalam husnul-khatimah (إﻧﺸﺎءاﻟﻠﻪﺛﻌﺎﻟﻲ).

Pemergian Allahyarham TG pasti akan selalu diingati oleh setiap ahli keluarga, anak murid, kenalan dan sahabat di tanah air khususnya di Alor Pongsu. Pada setiap kali datangnya Hari Raya Aidil Adha (عيد الأضحى) atau Hari Raya Korban, kenangan bersama Allahyarham akan terimbau kembali apabila tiba masa menganjurkan majlis korban di Surau al-Ansar. Ini adalah kerana, bukan sahaja tarikh pemergian Allahyarham TG yang ditakdirkan Allah Ta'ala pada musim Hari Raya Haji, malah ia amat berkait rapat dengan ibadat sembelihan korban di Kampong Alor Pongsu. Allahyarham TG adalah orang yang mula memperkenalkan ibadat sembelihan korban ini secara lebih sistematik dan tersusun semenjak lebih 15 tahun dulu. Insya-Allah ia pasti akan menjadi amalan untuk diteruskan oleh generasi sekarang dan akan datang hinggalah sampai hari kiamat.AL-FATIHAH

0 comments: