Friday, April 24, 2009

ALMARHUM USTAZ FADHIL NOR


Latar Belakang
Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.Moyangnya Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949).Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962).Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.Sekembalinya dari Mesir, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.


Penglibatan Awal
Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah bila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.Ketika di Mesir Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.
Penglibatan dalam PAS
Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihanraya tahun tersebut.Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.
Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor adalah:
• Naib Yang Dipertua (1979-1983)
• Timbalan Yang Dipertua (1983-1989)
• Presiden PAS (1989-2002)
Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.
Menentang Kezaliman ISA
Kezaliman ISA adalah suatu yang tidak asing lagi bagi Ustaz Fadzil Noor.Ini kerana semasa beliau menjadi Timbalan Presiden ABIM, beliau terpaksa memangku jawatan Presiden ABIM apabila Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA selama dua puluh bulan bermula dari tahun 1974.Sekali lagi setelah Anwar Ibrahim ditahan dan dibelasah oleh Ketua Polis Negara pada malam 20 September 1998, keesokan harinya rakan lamanya itu diumumkan telah ditahan di bawah ISA.Ustaz Fadzil Noor memahami benar bahawa ISA adalah senjata politik pemerintah.ISA digunakan untuk melindungi kepentingan politik pemerintah. ISA juga digunakan untuk menutup jenayah pemerintah.Meneruskan dasar PAS terhadap ISA daripada kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor terus melonjakkan PAS dalam sikap dan pendiriannya terhadap kezaliman ISA.Ustaz Fadzil Noor mempengerusikan mesyuarat menentang ISA ekoran penahanan Anwar Ibrahim dan beberapa penyokongnya bermula dari 20 September 1998.Mesyuarat itu diadakan di Markaz Tarbiah PAS, Taman Melewar dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada PAS, PRM, DAP dan NGO daripada PUM, ABIM, JIM, SUARAM dan lain-lain.Mesyuarat yang diadakan pada 25 September itu memutuskan untuk mendesak kerajaan membebaskan segera semua tahanan ISA dan memansuhkan ISA.Mesyuarat bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK.Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.Dalam Ucapan Dasar di Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:
”Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini”
Ustaz Fadzil Noor berulang kali menegaskan, sama ada dalam ceramah mahupun dalam perbahasan di Parlimen, bahawa ISA bersama-sama undang-undang zalim yang lain seperti OSA, Akta Polis dan Akta Cetak adalah undang-undang yang mencabul hak asasi rakyat di negara ini.
Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam dan Sumbangan kepada Gerakan Islam
Pembabitan awal Ustaz Fadzil Noor dalam politik pilihanraya bermula pada tahun 1978. Beliau bertanding dalam pilihanraya untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.Pada tahun 1980, dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Raya, sekali lagi beliau menjadi calon PAS untuk merebut kerusi tersebut. Beliau gagal dalam kedua-dua percubaan ini.Hanya dalam pilihanraya tahun 1982, Ustaz Fadzil Noor memenangi kerusi DUN Bukit Raya dan seterusnya mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut.Pada pilihanraya tahun 1999, Ustaz Fadzil Noor menang kerusi Parlimen Pendang dan juga kerusi DUN Anak Bukit.Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor PAS mengalami kejayaan paling besar sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya.Pada pilihanraya tahun 1999, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN.Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut.Sejak peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang.Di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif.Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA.Di peringkat serantau beliau memainkan peranan untuk mewujudkan permuafakatan di kalangan kumpulan-kumpulan Islam di Indonesia.Selepas tercetusnya Reformasi Indonesia dan jatuhnya Presiden Suharto, maka telah muncal banyak parti-parti yang berteraskan Islam di Negara tersebut.Ustaz Fadzil Noor mengambil inisiatif dan langkah diplomasi bertemu pemimpin parti-parti tersebut dan mengsyorkan agar mereka tidak membentuk terlalu banyak parti berteraskan Islam di sana.Ustaz Fadzil Noor juga telah berjaya menempatkan PAS sebarisan dengan gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di peringkat antarabangsa.
Ustaz Fadzil Noor menegaskan:
”PAS sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat, adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaati Islami di benua kecil India, Refah Party di Turki, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam”
Di peringkat politik antarabangsa juga, Ustaz Fadzil Noor tegas dan lantang menentang kerakusan dan dasar-dasar kejam kuasa Amerika dan Barat.Dalam isu Palestin, Israel, Chechnya, Afghanistan dan Iraq, PAS di bawah teraju Ustaz Fadzil Noor mengambil pendirian yang cukup lantang dan jelas.Tidak sedikit pemimpin dan ahli-ahli PAS semasa menyatakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa melalui ceramah dan demonstrasi aman yang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.Pendiriannya yang jelas dan tegas terhadap isu-isu antarabangsa yang melibatkan umat Islam telah menyuntik semangat juang yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.Dalam masa yang sama Ustaz Fadzil Noor juga amat teliti dengan isu-isu tempatan. Sebagai contoh, beliau amat cermat menangani isu hak istimewa orang Melayu di negara ini.Mengambil hujah daripada tindakan Khalifah Umar bin Al-Khattab semasa pemerintahannya, Ustaz Fadzil Noor menegaskan terdapat hak istimewa seumpama ini demi menjaga kepentingan penduduk asal tempatan khususnya yang tidak berada.Demikian juga ketika berlaku kes Mohamad Sabu menjelang pilihanraya 1995. Setelah mengadakan mesyuarat yang teliti, Ustaz Fadzil Noor mencadangkan satu tindakan disiplin diambil.Mohamad Sabu diminta meletakkan jawatan daripada parti dan keputusan ini diterima baik oleh Mohamad Sabu.Langkah ini dilakukan demi mengekalkan kewibawaan PAS dan mengelakkan tohmahan terhadapnya.Selepas kes itu selesai dan mahkamah mendapati Mohamad Sabu tidak bersalah, maka ternyata langkah yang diambil oleh Ustaz Fadzil Noor telah menguntungkan PAS dan perjuangan Islam.Ustaz Fadzil Noor juga meneruskan tradisi muslimat PAS diberikan amanah untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Penampilan muslimat dari pelbagai lapisan latar belakang dan kerjaya telah melonjakkan imej PAS sepanjang PAS diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.Ustaz Fadzil Noor juga amat berjaya di bidang dakwah dan pendidikan. Selaku Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 1985 beliau telah membeli sebuah estet kecil seluas 35 ekar untuk dijadikan sebuah institusi pengajian tinggi Islam.
Institusi ini dinamakan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.
Pada masa yang sama Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena yang didirikan oleh Ustaz Fadzil Noor adalah setanding kehebatannya pada zaman kegemilangan Maahad Al-Ehya Al-Sharif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.Muassasah Darul Ulum menampilkan pelbagai kemelut pergeresan di antara PAS dengan UMNO, kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri Kedah.Beberapa orang pemimpin Pemuda PAS ditahan di bawah ISA dalam ketegangan isu Muassasah Darul Ulum. Bahkan, Ustaz Fadzil Noor sendiri ditahan polis ketika berceramah di Jerlun mengenai isu Muassasah.
Kembali ke Rahmatullah
Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2002 setelah dua minggu mengalami koma selepas pembedahan yang dijalaninya.Dengan arahan kerajaan Pusat, jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia ke Kedah.Jenazah dibawa ke Muassasah Darul Ulum, institusi ilmu yang diasas dan diperjuangkannya.Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ.Dari Alor Setar hingga ke kawasan itu, hampir 30km orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu.Malah pada ketika terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10km menuju ke Muassasah Darul Ulum.Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini.


0 comments: